Asal-usul اصل-اوصل Kehidupan

Hidupan di Bumi muncul buat pertama kali seawal 4.28 bilion tahun yang lalu, selepas pembentukan lautan 4.41 bilion tahun yang lalu, dan tidak lama selepas pembentukan Bumi iaitu 4.54 bilion tahun yang lalu.[1][2][3][4] Hidupan bumi semasa mungkin berasal dari dunia RNA, walaupun hidupan berasaskan RNA mungkin bukan yang pertama. Mekanisme di mana hidupan bermula di Bumi tidak diketahui walaupun banyak hipotesis telah dirumuskan dan sering berdasarkan eksperimen Miller-Urey. Bentuk hidupan yang paling awal diketahui ialah mikrofosil bakteria. Batu-batu Australia yang berusia 3.45 bilion tahun dilaporkan mengandungi mikroorganisma.[5][6] Pada tahun 2016, ahli-ahli sains melaporkan pengenalpastian satu set 355 gen yang dianggap hadir dalam leluhur umum sejagat (LUCA) semua organisma hidup, sudah menjadi organisma yang kompleks dan bukan benda hidup yang pertama.[7]

Sejak awalnya, hidupan di Bumi telah mengubah persekitarannya pada skala waktu geologi. Untuk terus hidup di kebanyakan ekosistem, hidupan mesti sering menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan. Sesetengah mikroorganisma, dipanggil extremophiles, bertumbuh dalam persekitaran fizikal atau geokimia yang memudaratkan kebanyakan hidupan di Bumi. Aristotle adalah orang pertama yang mengelaskan organisma. Kemudian Bapa Taksonomi, Carl Linnaeus memperkenalkan sistem Tatadwinamanya untuk pengelasan spesies. Akhirnya kumpulan-kumpulan hidupan baharu seperti mikroorganisma ditemui. Sel itu dianggap sebagai unit asas hidupan.[8] Terdapat dua jenis sel, prokariotik dan eukariotik , kedua-duanya terdiri daripada sitoplasma yang dikelilingi oleh selaput plasma dan mengandungi banyak biomolekul seperti protein dan asid nukleik. Sel-sel membiak melalui proses pembahagian sel(mitosis dan meiosis) di mana satu sel induk membahagi menjadi dua sel anak.

Walaupun kini hanya hidupan di Bumi yang diketahui banyak ahli sains membuat andaian tentang kewujudan hidupan di luar angkasa. Hidupan buatan adalah simulasi komputer atau pembinaan semula manusia berdasarkan aspek hidupan dan sering digunakan untuk mengkaji sistem yang berkaitan dengan hidupan semula jadi. Kematian adalah penamat kekal semua fungsi biologi yang membuatkan organisma kekal hidup dan oleh itu, berakhirlah hayatnya. Kepupusan adalah proses yang mana seluruh kumpulan atau takson, biasanya spesies, mati. Fosil adalah sisa-sisa organisma yang dipelihara .